18.3.11

Transisi Edisi Kelima Julai/Ogos




Ketika mendengar lagu-lagu dinyanyikannya, anda mungkin terfikir siapa anak muda 'gila-gila' itu? Dia ialah Iqbal M. atau Muhammad Iqbal Bin Othman, 22, bakat baru yang dijangka menyinar dalam dunia muzik indie Malaysia. Kreativiti dan minat tinggi dalam muzik membolehkannya mengeluarkan EP pertama berjudul 'Tembak Tepat' dengan memuatkan 5 lagu seperti Tembak Tepat (Kenaikan), Patah Balik, Mati Eksperimental, Tembak Tepat (Kejatuhan) dan Harap-Harap Okay. EP itu, yang siap dirakamkan disebuah studio berlokasi di Wangsa Walk pada beberapa bulan lalu, mengambil masa enam bulan disiapkan dengan dibantu rakannya, Acap Pepatung atau Nor Asyraf Azizi. "Rakaman pertama bermula November 2009 dan siap pada April lalu. Ini kerana saya ingin menunjukkan kreativiti Acap sebagai jurutera bunyi, juga graduan muzik UiTM seperti saya. Saya ingin tonjolkan juga kepada umum mengenai apa yang kami boleh lakukan. Selain Acap, saya juga menggunakan khidmat kawan-kawan lain dalam persembahan saya," katanya. Iqbal memilih genre post-rock dengan gaya senikata unik tanpa rima sama. Kelainan dibawakannya itu bertujuan mengubah halwa dengar masyarakat mengenai muzik tempatan. Menerusi muziknya itu, Iqbal cuba menarik perhatian pendengar dengan mencipta dua cerita dalam satu judul lagu yang sama. Baginya, sebagai artis dia perlu membuatkan pendengar berfikir dan bukannya hanya mendengar serta menghayati lirik saja. "Saya mahu muzik jadi seperti matematik. Bukan dua tambah dua, empat. Saya ingin ia jadi satu atau apa saja yang mampu buat pendengar berfikir kenapa ia begitu. "Bagi buat pendengar fikir keunikan lagu saya, Tembak Tepat dihasilkan dalam dua cerita, satu positif (Tembak Tepat -Kenaikan) dan negatif (Tembak Tepat -Kejatuhan). "Kenaikan ialah cerita mengenai kesungguhan mandapatkan apa yang dihajati tanpa mengira apa kata orang. Kejatuhan pula, apabila kita sudah usaha sebanyak mungkin, tapi sampai tahap tertentu kita tidak berjaya dan kita fikir itu saja rezeki yang ada," katanya. Menurutnya, tanpa bantuan rakan-rakan, dia tak mampu bergerak sendiri kerana mereka bagaikan enjin dalam jentera pergerakannya. Justeru, kepercayaan itu membuatkannya tetap terus bersama mereka dalam setiap persembahan muzik dan proses penghasilan album sulung. "Saya penyanyi solo, tetapi ketika membuat persembahan, saya perlukan Acap, Raja Bromjat (Raja Ezzat Ezmir Raja Zaen), Aiman Mineral (Aiman Syabil Ashraf), Hadri Aro-aroyo (Hadri Abdul Hamid), Aby Kuning Cair (Abi Bakri Abdul Kayim), Diman Putupale (Syafiq Aiman Jamil) untuk beraksi bersama saya," katanya. Iqbal mula menulis dan membuat persembahan ketika disekolah menengah sebelum bergerak secara solo dan serius semasa semester akhir Diploma Seni Muzik. "Saya suka subjek Sastera semasa sekolah menengah. Saya baca karya Faisal Tehrani dan Antologi Sastera Sehijau Warna Daun banyak kali. Ketika tingkatan 4 dalam kelas sastera, saya sudah cuba menulis. "Muzik saya banyak dipengaruhi Bjork, Radiohead, Sigur Ros dan Butterfingers," katanya. Anak muda berasal dari Kajang itu kini menyambung pengajiannya dalam jurusan Ijazah Seni Muzik di universiti sama. Iqbal menyatakan penglibatannya dalam aktiviti-aktiviti muzik tidak pernah menjejaskan pembelajarannya di universiti ataupun memberi kesan negatif kepadanya. "Saya buat semua ini 24 jam sehari dan 365 setahun. Inilah yang saya pelajari dan lakukan. "Jika dahulu saya belajar diploma, kini saya sambung peringkat ijazah pula," katanya lagi.

Oleh: Wan Azuraina Meor Abdullah
Artikel: Transisi edisi kelima Julai/Ogos 2010
www.transisi.com.my

1 comment: